Loading...
Loading...

Pertanyaan saya mendapat maklum balas daripada Fynn Jamal.
Isu ini bukanlah perihal siapa betul siapa salah dan mahu berpihak kepada yang mana. Ia adalah ujian ke atas kita sebagai umat Islam yang agamanya dibina di atas asas ilmu.
Kekeliruan yang terjadi adalah sistemik. Kesan kegagalan memahami macam mana ilmu dalam agama berfungsi, bagaimana sesuatu hukum diputuskan dan bagaimana ia disampaikan kepada masyarakat.
Umat Islam tidak rugi jika ramai yang patah hati hendak berdakwah lalu mengundurkan diri. Dakwah hari ini menjadi musuh kepada proses belajar. Belum cukup belajar, tidak sabar-sabar hendak berdakwah. Akibatnya musibah.
Al-Imam al-Bukhari di dalam hal Ilmu, memperuntukkan satu bab khusus bertajuk باب العلم قبل القول والعمل iaitu BAB ILMU SEBELUM BERBICARA DAN BERAMAL. Sesiapa yang suka hendak berdakwah, mesti mampu mencari di mana bab itu di dalam karya al-Bukhari dan mampu membaca apa yang diriwayatkan serta dibincangkan di situ.
Instagram, Facebook dan Twitter menggoda kita untuk berkata-kata semasa belajar baru sedikit. Belum sembuh kejahilan dan kebodohan diri, sudah tidak sabar mahu memandaikan orang lain. Anak muda yang mengaji agama juga habis sahaja belajar, malah ada yang belum habis belajar, sudah menjebakkan diri di dalam dunia dakwah, menjadi tokoh muda, menjadi 'influencer' dan 'content creator' semasa baru berilmu tetapi belum sempat berbijaksana.
Jika ingin berpahala, gunakanlah jalan kerja-kerja kebajikan kerana membantu golongan yang memerlukan jarang sekali salah. Ia bermanfaat, dan impaknya besar kepada yang dibantu. Jangan cari pahala melalui aktiviti berdakwah secara bercakap, berceramah dan menulis kerana sangat banyak dosa, fitnah, dan kehancuran, andai dakwah itu mengatasi bekalan ilmu.
Gunakan hadith 'sampaikan daripadaku walaupun satu ayat' untuk suami berdakwah kepada isteri, isteri kepada suami, ibu bapa kepada anak-anak, dan mungkin serba sedikit sesama kenalan ketika minum teh bersama. Haramkan diri daripada berbekalkan hadith itu untuk berdakwah kepada masyarakat.
Tiada siapa yang rugi andai pendakwah berhenti berdakwah demi menambah ilmu.
Ramai yang rugi apabila penuntut ilmu berhenti menuntut ilmu kerana tergesa-gesa hendak berdakwah.
Jangan jadikan viraliti satu bentuk sembahan moden.
No transcript available for this episode.