Loading...
Loading...

Tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan daripadanya untuk kehidupan hari ini. Kita tidak seharusnya mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.
وما فات فات ومن مات مات
“Apa yang telah pergi, telah pergi. Siapa yang telah mati, telah mati!”
Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.
Kita belajar daripada sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup. Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya. Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu” [Al-Hashr 59:10]
Tidak menjadi lebih mulia seorang abid sufi yang mencaci saudaranya dengan label Wahabi. Tidak menjadi lebih sejahtera seorang abid salafi yang mencaci saudaranya dengan label bid’ah, Mazhabi dan Hizbi. Yang mencela Imam Syafie bukan kerana dia Wahabi.
Yang mencela Muhammad bin Abdul Wahhab bukan kerana dia Syafie atau Sufi. Pencela itu adalah pesakit yang berpenyakit lisan.Yang ilmunya tidak dapat menjinakkan perkataan. Yang perkataannya meliarkan umat Islam. Hawa nafsunya puas pada mencelah sirah si mati.
Daripada Abi Umamah radhiyallahu anhu, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:
“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat petunjuk dan mengamalkannya, melainkan dengan kaum itu gemar berdebat berbantah-bantah”
Lalu baginda sallallahu alayhi wa sallam membacakan firman Allah:
مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ
Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan. [Al-Zukhruf 43: 58]
No transcript available for this episode.